comscore
Tumpuan :
Nasional

2 sekeluarga, antara 3 maut nahas kereta bertembung pikap

Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk dengan seorang mangsa mati di lokasi nahas di jejambat Bukit Padang tengah malam tadi.

KOTA KINABALU: Dua sekeluarga, antara tiga maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pikap dalam kejadian berhampiran Jejambat Bukit Padang, Jalan Lintas, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, ketiga-tiga mangsa bersama enam lagi ahli keluarga, yang menaiki Proton Iswara dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Mangsa wanita, dikenali sebagai Asmidah Junaidi, meninggalkan dunia di lokasi, manakala anak dan anak saudara lelaki berusia lima bulan, meninggal dunia ketika dalam rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak dari arah Penampang ke Kolombong.

Beliau berkata, kereta Proton Iswara yang dinaiki sembilan individu termasuk dua bayi kembar dan tiga kanak-kanak bergerak dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan Toyota Hilux dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Proton Iswara berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Zaidi berkata, mangsa lain yang turut parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan HQEII untuk rawatan lanjut.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu Toyota Hilux yang gagal mengawal kenderaan serta memandu secara merbahaya.

“Pemandu pacuan empat roda turut mengalami kecederaan di muka dan tangan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis juga sudah mengambil spesimen darah daripada pemandu Toyota Hilux untuk dianalisa kandungan alkohol oleh Jabatan Kimia,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini