comscore
Tumpuan :
Nasional

200 Stesen Shell Di Malaysia Bakal Dipasang RFID TNG

KUALA LUMPUR: Touch ‘n Go (TNG) Group dan Shell Malaysia menjangka 200 stesen minyak Shell di seluruh negara akan dilengkapi dengan penyelesaian pengenalan frekuensi radio (RFID) tanpa tunai baharu untuk bahan api menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Group, Effendy Shahul Hamid, berkata setakat ini, penyelesaian itu boleh didapati di 88 stesen minyak Shell di seluruh negara.

“Pengalaman tanpa tunai baharu ini dijangka meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun. Kami amat berbesar hati kerana dapat meningkatkan penggunaan RFID selain tol jalan raya.

“Pelanggan kini boleh membuat pembayaran di stesen minyak Shell tanpa memerlukan sebarang interaksi dengan aplikasi di telefon mudah alih mereka atau melalui sistem tempat jualan berikutan pembayaran dibuat melalui TNG RFID,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih 22,000 pengguna TNG RFID memilih penyelesaian RFID di stesen minyak Shell sebelum pelancaran rasminya dan menjadi bukti bahawa penyelesaian itu membawa keberkesanan dalam pasaran.

Effendy berkata, gabungan RFID dalam infrastruktur e-dompet membolehkan syarikat mengkaji penggunaan lain melalui RFID.

Pengurus Besar Mobiliti Shell Malaysia dan Singapura, Seow Lee Ming, berkata pada masa ini, hanya dua ruang TNG RFID disediakan di setiap stesen minyak Shell.

“Jika kadar penggunaannya tinggi serta permintaan dan aliran trafik adalah baik, kami akan memperluas penyelesaian RFID di semua ruang di stesen minyak kami.

“Tumpuan kami ialah membolehkan lebih ramai pengguna RFID di lebih banyak stesen minyak dan jika terdapat stesen minyak tertentu mempunyai aliran trafik yang tinggi, kami akan menambah ruang RFID,” katanya.

Beliau berkata, Shell Malaysia dan TNG mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap penyelesaian RFID berdasarkan permintaan yang menggalakkan dalam projek perintisnya.

“Sejajar dengan komitmen kami untuk menjadikan perjalanan harian pelanggan kami lebih lancar melalui penawaran inovasi menggunakan teknologi RFID, kami berusaha untuk menyepadukan TNG RFID dengan rakan kongsi setia kami, BonusLink, membolehkan pelanggan mendapat mata kesetiaan dengan mudah dengan setiap pembelian minyak,” katanya.

Bagi menggunakan TNG RFID di stesen minyak Shell, pelanggan memerlukan TNG RFID dipautkan ke akaun TNG eWallet mereka dan pelanggan hanya perlu meletakkan kenderaan mereka di ruang pengisian minyak menggunakan RFID yang ditetapkan.

Kenderaan akan dikesan dalam tempoh beberapa saat dan pembayaran akan didebit secara automatik daripada TNG eWallet pelanggan.-BERNAMA

Loading...
Terkini