comscore
Tumpuan :
Nasional

Shell Lancar Modul E-Pembelajaran STEM, Pendidikan Keselamatan Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia melancarkan dua modul e-pembelajaran kendiri ko-kurikulum di portal Rakan DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) bagi memanfaatkan lebih 2.5 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Modul yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) itu, adalah platform e-pembelajaran kendiri untuk pelajar sekolah menengah mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pendidikan keselamatan jalan raya.

Modul pendidikan berkaitan STEM dikenali sebagai Shell NXplorers, manakala berkenaan tahap keselamatan jalan raya pula adalah #ShellSelamatSampai.

Pengerusi Shell Malaysia, Ivan Tan, berkata kedua-dua modul e-pembelajaran kendiri Shell di portal Rakan DELIMa itu boleh didapati dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Katanya, selepas memilih bahasa pilihan, pelajar akan dipersembahkan dengan video pembelajaran kendiri dan diikuti dengan set soalan kuiz.

“Pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 80 peratus jawapan betul daripada kuiz, akan diberikan e-sijil dan layak menuntut mata Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat sekolah dalam sistem KPM Tahap 1.

“Seterusnya, pelajar boleh meneruskan untuk mendapatkan mata PAJSK peringkat kebangsaan (Tahap 2), sekiranya mereka memilih untuk melakukan projek kecil yang berkaitan dengan modul (pembelajaran berasaskan projek),” katanya.

Ivan yang juga Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia berkata, dia gembira melihat modul STEM dan keselamatan jalan raya berkenaan boleh diakses secara digital kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

“Kita berterima kasih kepada KPM dan rakan kongsi kami atas semua sokongan mereka dalam memastikan belia dilengkapi dengan semua bahan yang diperlukan untuk memperkasakan mereka ke arah menjadi pemimpin masa depan,” katanya.

Shell NXplorers ialah program pendidikan inovatif global Shell yang memperkenalkan golongan muda kepada pemikiran kompleks dan kreatif yang diperlukan untuk membawa perubahan positif.

Dengan tumpuan pada teknologi, program itu menyediakan pengalaman pembelajaran amali unik yang menggabungkan alat pembelajaran teknologi terkini dengan siasatan ilmiah yang diperlukan untuk memupuk pemimpin inovatif masa depan dengan kesedaran tentang isu global dan masyarakat.

#ShellSelamatSampai pula direka untuk menggalakkan keselamatan jalan raya di kalangan belia dengan program khusus untuk sekolah menengah, kolej dan universiti, serta masyarakat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini