comscore
Tumpuan :
Nasional

234 Aduan Pembakaran Terbuka Diterima Di Kuala Lumpur

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 234 aduan diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan kes pembakaran terbuka sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, kebanyakan aduan membabitkan kawasan kediaman seperti taman perumahan sekali gus turut menyumbang kepada pencemaran udara.

“Program kita hari ini memfokuskan kepada seluruh Keluarga Malaysia di Kuala Lumpur agar mematuhi peraturan supaya mereka tidak melakukan pembakaran terbuka, di mana kita tahu yang aktiviti pembakaran terbuka sangat bahaya kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Larangan Pembakaran Terbuka sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022 di perkarangan Masjid Al-Ubudiah, Segambut Dalam, di sini, hari ini.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” katanya.

Bercakap mengenai program, beliau berkata ia bagi mewujudkan platform pintar antara pihak JAS dan pihak berkepentingan dalam menyelesaikan isu pembakaran terbuka dan seterusnya meningkatkan kualiti udara di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Ezzani, pelaksanaan program itu merupakan salah satu daripada usaha menangani pencemaran udara selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya aktiviti pembakaran terbuka.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap Dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zulkifli Endut dan Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi) Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Juliana Bokhari.

Loading...
Terkini