comscore
Tumpuan :
Nasional

29,000 graduan belum ada pekerjaan 

KUALA LUMPUR: Seramai 29,000 atau 9.8 peratus daripada 295,962  graduan pada 2022 di negara ini belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian tahun lepas.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jumlah itu berdasarkan data rasmi sistem kajian pengesanan graduan yang dikeluarkan oleh kementerian.

Katanya, jumlah graduan yang belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2021 adalah seramai 41,467 atau 14.5 peratus daripada 286,299 graduan.

“Keboleh pasaran graduan diberikan perhatian sangat serius oleh KPT.

“Memang tidak dinafikan bahawa bilangan siswazah dalam negara meningkat setiap tahun.

“Bagaimanapun, kadar pengangguran sisawazah mengalami penurunan sebanyak 0.4 peratus untuk mencatatkan 3.7 peratus pada 2022 berbanding 4.1 peratus pada 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya mengakui ramai graduan pasca siswazah yang belum mendapat pekerjaan.

Katanya, ia kerana mereka yang berkelulusan pasca siswazah di negara ini tidak banyak pusat atau institusi penyelidikan sama ada di peringkat kerajaan ataupun swasta yang menawarkan pekerjaan.

“Jadi itu satu perkara yang kita tidak menafikan hakikat…Bagaimanapun KPT sudah melaksanakan inisiatif secara berterusan bagi memastikan bakat dan kemahiran yang pelbagai dapat diberikan kepada siswazah kita.

“Antaranya kita melaksanakan semakan dan penambahbaikan kurikulum secara berkala dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi memastikan pelajar yang mengambil bidang berkenaan mempunyai daya saing serta keboleh pasaran yang tinggi sebaik saja menamatkan pengajian,” katanya.

Berhubung gesaan Ahli Parlimen Jelutong supaya KPT memeriksa kelulusan doktor falsafah (PhD) yang dikeluarkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamed Khaled berkata, kementerian tidak mempunyai kawalan terhadap tindakan, kenyataan atau kelakuan oleh pemegang PhD.

“Kalau pun ada seseorang yang mempunyai PhD itu, dia tak semestinya menjadi pakar atau sempurna dan mengetahui segala-galanya.

“Dia mungkin pakar bidang dia tapi yang lain-lain, dia mungkin tidak mendalam dalam perkara itu…Jadi atas sebab itulah, kita berhadapan dengan keadaan sepert yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat,” katanya.

Tambahnya, selepas ini KPT akan lebih ketat dalam soal menentukan siapa yang boleh mengikuti program PhD dan sebagainya.

“Memang amat malanglah, lebih-lebih lagi ia berlaku sebagai mereka yang keluar daripada sebuah universiti ternama seperti USM,” katanya.

Loading...
Terkini