comscore
Tumpuan :
Nasional

3 beradik juara pertandingan reka cipta, inovasi antarabangsa

Shaheer, Shameer dan Shazlan menunjukkan trofi dimenangi. – FOTO Ihsan Pembaca

TANJUNG MALIM: Tiga beradik memenangi anugerah reka cipta dan inovasi peringkat antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 11 Mei hingga semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Shameer Pandurar, 16, Shaheer, 14, dan Shazlan, 13, memenangi Pingat Emas World Young Inventions Exhibition (WYIE) dan Pereka Cipta Muda Terbaik Malaysian Young Inventions Exhibition (MYIE) peringkat sekolah menengah sempena Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Ke-34 Malaysia ( ITEX23).

Mereka memenangi anugerah berkenaan menerusi hasil reka cipta dan inovasi iaitu Nature Feedback Heavy Drive (NFHD) .

Lebih menarik, tiga beradik ini turut menerima Anugerah Khas daripada Kementerian Pendidikan Arab Saudi melalui hasil persembahan reka cipta terbabit.

Shameer berkata, kejayaan itu amat bermakna buat mereka bertiga kerana ia adalah kejayaan kedua berturut-turut kerana sebelum ini pada tahun lalu mereka juga memenangi kejayaan berkenaan.

“Kami dapat mengekalkan kemenangan tahun ini selepas kami bertiga menarik taraf NFHD yang direka untuk menambah jarak perjalanan kenderaan hybrid dan elektrik.

“Reka cipta terbabit dapat mengurangkan penggunaan kuasa elektrik daripada bateri kenderaan dengan pertukaran tenaga secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Sementara itu, adiknya, Shaheer pula berkata, penggunaan sistem NFHD lebih menjimatkan kerana ia murah dan mudah dibaiki di samping lebih menarik kerana ia mesra alam.

“Idea mencipta NFHD timbul selepas bapa saya meminta kami mencipta sistem yang boleh membantu kenderaan komersial yang mesra alam.

“Bermula dari situ, selepas mempelajari selok belok sistem kenderaan daripada bapa pada waktu lapang maka timbul idea untuk mencipta sistem terbabit,” katanya.

Katanya, ternyata sistem NFHD yang mereka hasilkan mampu berfungsi dengan baik malah berjaya memikat juri dalam pertandingan berkenaan.

Loading...
Terkini