comscore
Tumpuan :
Nasional

3 kanak-kanak maut akibat denggi di Sabah

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Dalam tempoh Januari hingga 11 Februari lalu, tiga kanak-kanak maut akibat komplikasi demam denggi berbanding sifar kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu di Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata kes kematian itu dicatatkan di Sandakan, Kudat dan Kunak.

Katanya, ketiga-tiga kematian membabitkan kanak-kanak perempuan berumur antara sembilan tahun hingga 12 tahun yang tinggal di lokaliti setinggan atas air.

“Kes kematian akibat demam denggi di Sandakan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara berumur sembilan tahun dari Kampung Tinusa Laut Dua.

“Di Kudat pula membabitkan seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berusia sembilan tahun dari Kampung Sibogoh Balak, Pulau Banggi.

“Sementara itu, di Kunak kes kematian membabitkan seorang remaja perempuan bukan warganegara berusia 12 tahun dari Kampung Jaya Baru Bakau,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Sehingga kini, Kampung Tinusa Laut Dua, Sandakan masih berstatus wabak tidak terkawal dengan sebanyak sembilan kes demam denggi dikesan.

Aktiviti kawalan dan pencegahan denggi masih dilaksanakan di ketiga-tiga lokaliti terbabit bagi mengelak daripada terus merebak.

Sementara itu, Rose Nani berkata, bermula pada minggu pertama dan kedua Januari tahun ini, JKNS merekodkan lebih 250 kes demam denggi seminggu di Sabah.

Namun, jumlah itu menurun sedikit sejak tiga minggu kebelakangan ini dengan 230 kes direkodkan pada minggu keenam yang berakhir pada 11 Februari lalu berbanding 253 kes pada minggu sebelumnya.

“Dalam tempoh enam minggu, sebanyak 1,482 kes denggi dilaporkan di seluruh Sabah dengan 15 lokaliti hotspot dikesan, masing-masing sembilan hotspot di Sandakan, Tawau (tiga), Lahad Datu (dua) dan satu di Kota Kinabalu,” katanya.

Selain faktor kebersihan, peningkatan aktiviti dan pergerakan manusia apabila semua sektor dibuka sepenuhnya selepas pandemik COVID-19 juga antara faktor menyebabkan virus denggi mudah merebak, sekali gus meningkatkan kes jangkitan.

Selain itu, hujan berterusan dan bencana banjir yang dialami di beberapa daerah di Sabah baru-baru ini turut mempengaruhi perkembangan nyamuk dan larva yang menyebabkan populasi nyamuk Aedes meningkat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini