comscore
Tumpuan :
Nasional

37 mangsa banjir di Membakut dipindahkan di PPS malam ini

Foto: Ihsan APM

MEMBAKUT: Seramai 37 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan akibat banjir yang melanda beberapa di beberapa kampung di daerah ini setakat jam 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang juga Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki, berkata semua mangsa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, Beaufort.

Katanya, PPS terbabit dibuka sejak jam 4 petang tadi selepas pihaknya mengisytiharkan bencana banjir di daerah ini pada jam 3 petang tadi berikutan situasi banjir yang semakin buruk.

“Setakat ini seramai 37 mangsa berada di PPS berkenaan. Kebanyakan mangsa adalah dari Kampung Kayai, Mandangin, Bambangan, Baitam, Limpayai, Lampijas dan Jambatan Baru,” katanya, di sini, malam ini.

Foto: Ihsan APM

Beberapa kawasan rendah di daerah ini dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Membakut akibat hujan berterusan sejak pagi tadi.

Selain tujuh kampung terbabit, kawasan lain yang turut terjejas ialah pekan lama Membakut dengan beberapa laluan dinaiki air hingga tidak dapat dilalui kenderaan.

Berikutan situasi itu, JPBD Membakut mengisytiharkan bencana banjir pada jam 3 petang tadi selepas mengambil kira maklumat lapangan dan laporan agensi berkaitan berhubung perkembangan semasa situasi banjir di daerah ini.

Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan semua agensi keselamatan berada di lapangan bagi memantau dan melakukan penilaian semasa keadaan banjir, terutama bagi pemindahan mangsa banjir.

“Bilik Gerakan Bencana (PKOB) Daerah Membakut juga telah dibuka dan semua petugas jabatan diminta bertugas sesuai tugas dan jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini