comscore
Tumpuan :
Nasional

4 Kenderaan mewah musnah dalam kebakaran

KUALA LUMPUR: Empat buah kenderaan mewah musnah dalam satu kebakaran tengah malam tadi.

Kejadian berlaku di sebuah galeri berhampiran Taman Eco Ara Damansara, sebaik ke semua kenderaan itu diturunkan daripada lori pengangkut.

Sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan pada 12.30 tengah malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata anggota yang tiba di lokasi mendapati empat kereta terbakar ketika diturunkan dari lori pengangkut.

“Kebakaran membabitkan sebuah BMW X5 baharu, dua BMW 5 Series terpakai dan sebuah BMW 7 Series terpakai.

“Kebakaran menyebabkan dua daripada kenderaan itu musnah 70 peratus, manakala dua lagi kenderaan musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Morni berkata, kerja memadam kebakaran mengambil masa hampir setengah jam sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 1.10 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan angka kerugian masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini