comscore
Tumpuan :
Nasional

4,310 doktor kontrak letak jawatan dalam tempoh 7 tahun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seramai 4,310 doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh tujuh tahun sehingga 2023, dengan 924 orang meletak jawatan tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu mewakili 2.82 peratus daripada jumlah keseluruhan 32,813 pegawai perubatan kontrak tahun lalu.

Katanya, ia menurun berbanding 1,354 doktor atau 4.58 peratus daripada 29,548 pegawai perubatan kontrak di Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2022.

Justeru, beliau berkata, bagi menangani isu doktor kontrak dan kekurangan doktor di hospital kerajaan, KKM melaksanakan pelbagai inisiatif, antaranya memendekkan tempoh masa menawarkan penempatan program latihan siswazah perubatan dari lebih setahun kepada dua bulan selepas menerima pemakluman daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Menggalakkan graduan perubatan memohon untuk berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) sebaik saja menamatkan pengajian perubatan.

“(Serta) menyediakan peluang kerjaya secara kontrak yang jelas iaitu hingga maksimum tujuh tahun bagi pegawai yang tidak mengikuti pengajian perubatan supaya mereka dapat memperkayakan lagi pengalaman perubatan; atau hingga maksimum 11 tahun jika diluluskan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata selaras dengan keputusan Kerajaan pada 19 Januari 2022, KKM dipertimbangkan pewujudan 1,500 jawatan yang merangkumi jawatan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi bagi tempoh 2023 hingga 2025.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2023, KKM sudah diluluskan 9,822 pelantikan tetap. Bagi tempoh 2024 hingga 2025, KKM mengunjurkan lebih 6,000 pelantikan pegawai perubatan secara tetap,” katanya.

Selain itu katanya, KKM juga melaksanakan arahan penempatan dua bulan awal sebelum tarikh kuat kuasa bagi pertukaran antara negeri dan arahan pertukaran satu bulan awal bagi pertukaran dalam negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini