comscore
Tumpuan :
Nasional

49 sekolah terjejas banjir di Sabah

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Sebanyak 49 sekolah termasuk enam sekolah menengah dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda di tujuh daerah negeri ini, setakat ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, daerah terbabit ialah Pitas, Beluran, Kudat, Kota Marudu, Beaufort, Sipitang dan Lahad Datu.

Menurutnya, daerah Beluran mencatat jumlah sekolah paling banyak terjejas iaitu sebanyak 18 sekolah, diikuti Kota Marudu sebanyak 16 sekolah.

Katanya, enam sekolah terjejas akibat banjir di daerah Pitas, empat sekolah mdi Beaufort, masing-masing dua sekolah di Kudat dan Lahad Datu serta sebuah sekolah terjejas di Sipitang.

“Kebanyakan sekolah terjejas sama ada disebabkan kawasan sekolah dinaiki air atau laluan ke sekolah terputus atau tidak dapat dilalui akibat banjir.

“Selain itu, beberapa sekolah juga terpaksa ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak sembilan sekolah dijadikan PPS di daerah Pitas, Beluran, Kudat dan Kota Marudu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, sebanyak lima daerah masih terjejas akibat banjir di Sabah setakat pagi ini, termasuk Telupid dan Tawau yang dilaporkan kawasan terkini dilanda banjir.

Bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 6,843 mangsa setakat 8 pagi tadi berbanding 6,453 mangsa pada 4 petang semalam. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini