comscore
Tumpuan :
Nasional

5 anggota polis antara tujuh ditahan menyamun

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

KUALA LUMPUR: Tujuh orang termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah resident di Jalan Tun Razak, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes samun dan menyamar polis membabitkan seorang lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat risikan, pada jam 11.50 malam kelmarin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menahan tiga lelaki.

“Hasil daripada tangkapan pertama membawa kepada tangkapan empat lagi lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata, dalam siasatan ini, polis menahan seramai lima anggota polis, seorang bekas polis dan seorang orang awam berusia 28 hingga 41 tahun.

“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.

“Kes ini masih dalam siasatan di mana pihak polis tidak melindungi individu termasuk pegawainya sendiri yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Sabtu lalu, pengawal keselamatan yang sedang bertugas di resident Jalan Tun Razak bersama rakannya didatangi suspek memperkenalkan anggota polis.

Mereka kemudian meminta pengawal keselamatan itu membawa ke tingkat lima sebelum meminta pengawal keselamatan itu beredar.

Kemudian pada jam 11 malam, suspek beredar dari kediaman terbabit dengan kereta dan motosikal. Selepas itu datang pasangan warga asing berjumpa dengan pengawal keselamatan memberitahu wang tunai dan barangan kemas mereka hilang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini