comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis akan panggil 3 individu anjur Perhimpunan Tuntut Reformasi

Peserta yang berkumpul di Plaza Tugu Negara bagi menyertai Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus, Selasa lalu. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Polis akan memanggil tiga individu yang juga penganjur Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus untuk memberikan keterangan bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung perhimpunan itu dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ketiga-tiga individu itu sudah dikenal pasti, dan beliau percaya mereka akan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Setakat ini, kita rancang untuk panggil tiga orang untuk diambil keterangan. Semua individu ini adalah pihak penganjur,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Presint 11 di sini, tadi.

Selasa lalu, Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) diadakan menyaksikan sekumpulan kira-kira 60 peserta berarak dari Plaza Tugu Negara, Kuala Lumpur hingga ke laluan masuk Parlimen, bagi menyerahkan tuntutan yang antara lain berkaitan dengan pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus dan menolak undang-undang dua darjat.

Susulan perhimpunan itu polis membuka satu kertas siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu ditanya mengenai tahap kesiapsiagaan polis bagi program Perhimpunan Mega Rakyat Demi Palestin yang dijadualkan di ibu negara pada 2 Mac ini, Allaudeen berkata, pihaknya sedia maklum mengenainya, namun perancangan akan dibuat selepas pihak penganjur mengemukakan pemakluman dan permohonan bagi tujuan penganjuran.

“Datang jumpa polis dan bincang supaya kami dapat ‘facilitate’ dan pastikan perhimpunan berjalan lancar. Bila pemakluman dan permohonan diterima, kita akan proses dan tugaskan anggota secukupnya pada hari kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mengemukakan pemakluman dan permohonan adalah kesalahan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan dan kegagalan berbuat demikian adalah menyalahi undang-undang.

Allaudeen berkata pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pemilik premis sebelum mengemukakan pemakluman dan permohonan kepada pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini