comscore
Tumpuan :
Nasional

5 tahun ‘menghendap’ jurugambar wanita, lelaki didakwa esok

PETALING JAYA: Akhirnya lelaki yang didakwa melakukan gangguan seksual secara dalam talian terhadap seorang jurugambar wanita sejak 2018 akan didakwa di mahkamah.

Ia kes pertama individu di negara ini didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi Buletin TV3, memaklumkan lelaki berusia 37 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi esok.

Pada 29 Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Kanun Keseksaan menjadikan menghendap oleh penghendap (stalker) secara fizikal dan dalam talian sebagai satu jenayah.

Seksyen 507A baharu dimasukkan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk menjadikan perbuatan mengintai sebagai satu kesalahan dan mana-mana individu yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita pada 2018.

Menerusi satu hantaran di Instagram, baru-baru ini, mangsa berkongsi kisah bagaimana dirinya sering diganggu secara seksual oleh individu bernama ‘Shafiq Rosli’.

Mangsa mendakwa kerap menerima mesej lucah dan video memaparkan suspek berkenaan berkelakuan jelik.

Susulan itu, sebuah media tempatan melaporkan, suspek berkenaan mula mengganggu mangsa sejak 2016 dengan meninggalkan komen di halaman blognya.

Suspek terbabit dikatakan mula menghendap mangsa sejak 2017 malah pernah mengekori mangsa ke sebuah restoran makanan segera dan ke rumah mangsa.

Loading...
Terkini