comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seludup sisik tenggiling: seorang lagi suspek direman

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Menurut sumber, suspek berusia dalam lingkungan awal 40-an itu ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 6 petang, dua hari lalu.

Artikel berkaitan: [EKSKLUSIF]:Sogok pihak berkuasa, sisik tenggiling bernilai RM23.4 juta dirampas

Antara sisik tenggiling yang dirampas SPRM pada 14 Julai lalu. – Foto: Ihsan SPRM

Susulan penahanan terbabit, Majistret Nor Syakirah Che Hashim telah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula 19 hingga 22 Julai 2023 setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, semalam.

Sebelum ini, SPRM telah menahan reman empat individu dengan tiga daripadanya ditahan reman selama empat hari dan seorang lagi direman dua hari.

Penahanan berkenaan hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Terdahulu, Buletin TV3 melaporkan SPRM menumpaskan sindiket berkenaan yang berselindung di sebalik perniagaan membuat tayar celup apabila merampas hampir dua tan sisik haiwan itu bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Sindiket dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang mencari pelanggan yang ingin membeli hidupan liar yang telah dikeringkan dan diawet di pasaran gelap, selain penjaga premis bagi tempat penyimpanan hidupan liar yang diseludup.

Menerusi risikan dijalankan SPRM, isu penyeludupan haiwan liar ini sedang meningkat naik dan Malaysia dipercayai menjadi hab atau transit bagi sindiket itu menjalankan operasi mereka.

Loading...
Terkini