comscore
Tumpuan :
Nasional

75,000 biji telur gred A, B, C habis dalam masa 3 jam

Orang ramai membeli telur ayam di sebuah kedai borong di Kampung Chabang Tiga di sini. Foto NSTP

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 75,000 biji telur gred A, B dan C di sebuah kedai borong di Chabang Tiga di sini habis terjual dalam masa tiga jam selepas premis berkenaan diserbu pelanggan.

Tinjauan mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi walaupun premis berkenaan memulakan operasi kira-kira 30 minit kemudian.

Pengurus syarikat borong, Nursyzanil Adha Ramli, berkata, sebanyak 2,700 papan telur pelbagai gred diterima hari ini dengan 2,500 papan telur gred A, B dan C habis terjual dalam masa tiga jam dan kini hanya berbaki 200 papan telur premium dan telur ayam kampung.

Katanya, pihaknya tidak meletakkan had pembelian kepada pembeli menyebabkan telur gred A, B dan C terjual dengan cepat.

“Ketika mahu membuka kedai jam 7.30 pagi, orang ramai sudah beratur untuk beli telur dan dalam tempoh beberapa jam, bekalan telur licin dan hanya tinggal telur omega dan telur ayam kampung.

“Jualan telur sangat laris apabila bekalan telur gred A, B dan C habis sebelum jam 11 pagi sehingga menyebabkan ada pelanggan pulang dengan tangan kosong.

“Selain itu, terdapat sedikit pengurangan bekalan yang diterima berbanding hanya 4,600 atau 5,000 papan sebelum ini tetapi penghantaran bekalan masih stabil,” katanya.

Peniaga, Mohd Hafizi Rusli, 41, berkata, dia memerlukan sebanyak 10 papan telur setiap hari dan penurunan itu sedikit sebanyak membantunya berjimat.

“Sebelum ini, saya beli telur gred B dengan harga RM12.90 tetapi sekarang harga baharu adalah RM12, jadi saya dapat berjimat antara RM250 sehingga RM270 sebulan.

“Sebab itu saya sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bekalan.

“Namun, saya harap bekalan telur ini tidak terganggu memandangkan ia antara bahan mentah yang digunakan semua seperti peniaga dan isi rumah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini