comscore
Tumpuan :
Nasional

88 penjaja bazar Ramadan dikenakan kompaun

Pegawai penguat kuasa JKNS menjalankan pemeriksaan di bazar Ramadan. – FOTO: Ihsan JKNS

SHAH ALAM: 88 kompaun Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) ke atas penjaja bazar Ramadan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata 88 kompaun berkenaan dikeluarkan dalam Ops Keselamatan Makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri.

“Sehingga kini, sebanyak 4,325 penjaja bazar Ramadan sudah diperiksa yang mana sebanyak 88 kompaun notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan.

“Antara kesalahannya seperti tidak memakai apron, tidak menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan, tiada suntikan tifoid, berpakaian tidak bersesuaian, memakai perhiasan diri seperti cincin atau gelang ketika mengendalikan makanan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Sha’ari berkata, dianggarkan terdapat 232 lokasi bazar Ramadan membabitkan 15,593 tapak dan seramai 46,779 orang pengendali makanan di negeri ini.

“Ops Keselamatan Makanan di bazar Ramadan dan Ops Perayaan – Hari Raya Puasa tahun ini dijalankan bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual sepanjang Ramadan di bazar Ramadan selaras Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

“Notis 32B, Akta Makanan 1983 akan dikeluarkan sekiranya pengendali makanan tidak mematuhi keperluan berkenaan,” katanya.

Selain itu Dr Sha’ari berkata, pensampelan makanan ‘Ready-To-Eat’ (RTE) yang berisiko tinggi juga dijalankan dan jenis analisa adalah mikro organisma bagi menjamin keselamatan makanan kepada pengguna.

Bagi Operasi Perayaan – Hari Raya Puasa pula katanya, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan produk makanan seperti makanan berbungkus dan makanan bertin yang terdapat di pasaran.

“Produk makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan disita dan disusuli dengan pengeluaran notis 32B Akta Makanan 1983.

“Pemeriksaan dijalankan adalah termasuk kehendak pelabelan Akta Makanan 1983, penggunaan pembungkusan dan makanan yang tamat tarikh luput serta bungkusan makanan yang rosak,” katanya.

Pada masa sama beliau mengingatkan pengguna mengamalkan budaya Perhati dan Pilih ketika membeli makanan.

Loading...
Terkini