comscore
Tumpuan :
Nasional

93 bas diperiksa, 3 pemandu dikesan positif dadah

Muhammad Kifli Ma Hassan (tengah) memeriksa dokumen milik pemandu bas dalam Operasi Bersepadu Bas Persiaran dan Bas Ekspres di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gombak, hari ini. – Foto: NSTP


GOMBAK: Sebanyak 68 bas persiaran dan 25 bas ekspres diperiksa dalam operasi bersepadu dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuhraya Karak, dekat sini hari ini.

Operasi yang turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari itu menyaksikan 15 saman dikeluarkan.

Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata antara kesalahan yang dikesan adalah pemandu tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan tiada lesen memandu.

“Kita turut mengesan kesalahan teknikal seperti pada tayar, brek dan lampu serta sebuah bas ekspres yang diubah suai. Sebuah bas ekspres tiada pemandu bas kedua dan seorang pemandu bas persiaran menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah bas yang diperiksa dalam operasi berkenaan, beliau berkata, 10 bas persiaran dan 12 bas ekspres dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

“MOTAC mengesan enam bas persiaran tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong. AADK pula melaksanakan ujian air kencing terhadap 49 pemandu sebelum tiga didapati positif dadah,” katanya memaklumkan tindakan ke atas tiga pemandu terbabit diambil oleh AADK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini