comscore
Tumpuan :
Nasional

937 botol air zam zam dirampas

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 937 botol disyaki mengandungi air zamzam bernilai RM117,200 di sebuah gudang di Shah Alam, 21 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, semasa pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah gudang persendirian, mereka telah bertemu dengan wakil pengurus gudang terbabit berusia 44 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengimportan terhadap air zam-zam berkenaan.

“JKDM bertindak merampas 4,685 liter disyaki air zamzam dengan nilai dagangan RM93,700 membabitkan cukai RM23,500.

“Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti barangan itu diimport dari mana dan kita percaya untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Khamis.

Katanya, minuman itu dipercayai dijual semula dengan harga RM120 bagi setiap lima liter.

Tambah Norlela, siasatan juga masih dijalankan dengan menghantar sampel ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan pengesahan kandungan air itu.

“Ketika rampasan dibuat, air tersebut juga tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Air zamzam atau mineral adalah barang larangan dan pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 35, Bahagian 1, Jadual III, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Dalam serbuan lain, Norlela memberitahu, pihaknya turut merampas 2,816 jubin dengan anggaran nilai termasuk cukai sebanyak RM40,100, pada 4 Jun lalu.

Tegas beliau, rampasan itu dilakukan terhadap pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Utara.

“Jubin yang diimport dari negara Asia Utara itu tidak mempunyai sijil kelulusan dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Ketika pemeriksaan, ia telah disembunyikan di belakang alat perhiasan lampu. ”

Dalam pada itu, Norlela berkata pihaknya turut merampas 644.6 liter minuman keras bernilai RM58,900 dalam satu serbuan 20 Jun lalu di dalam sebuah motorvan di sebuah premis tidak berpenghuni di Taman Tasik Indah, Kuala Lumpur.

Bagi kes rokok seludup pula, pihaknya berjaya merampas 670,000 batang rokok bernilai RM505,000 dalam dua serbuan berbeza pada 13 dan 20 Jun lalu.

Dalam serbuan pertama, sebanyak 620,000 batang rokok dengan anggaran nilai termasuk cukai berjumlah RM463,800 dirampas di di sebuah gudang di Pelabuhan Utara, manakala satu lagi serbuan di premis tidak berpenghuni di Seri Kembangan berjaya merampas 50,000 batang rokok bernilai RM41,300.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini