comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Abang pergi pada hari lahir saya’ – Adik mangsa nahas helikopter

Bapa Allahyarham Komander Muhamad Amir Mohamad, Mohamad Dorak dan ibunya, Napsiah menunjukkan gambar Allahyarham ketika ditemui di rumahnya di Felcra Bukit Kepong. FOTO: NSTP

MUAR: “Sepatutnya hari ini adalah hari terindah buat saya, tapi kami ‘disambut’ dengan berita menyedihkan,” kata Nurul Huda Mohamad, 29, adik kepada Allahyarham Komander Muhamad Amir, 44, yang terbunuh dalam nahas dua buah helikopter di Lumut, Perak, hari ini.

Pengkhabaran duka itu hadir ketika anak bongsu daripada sembilan beradik sedang bekerja di Melaka sebelum menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarganya memaklumkan insiden menimpa abangnya.

Menceritakannya lebih lanjut, Nurul Huda berkata, dia sepatutnya gembira meraikan ulangtahun kelahirannya namun semuanya berubah menjadi kedukaan.

Nurul Huda memeluk bapanya, Mohamad sebaik dimaklumkan abangnya meninggal dunia dalam nahas helikopter TLDM. FOTO: NSTP

“Saya akui sukar menyembunyikan kesedihan atas berita pemergiaan abang. Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian menimpanya,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felcra Bukit Kepong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham, Napsiah Ahmad berkata, dia sehingga kini masih tidak percaya yang anak keduanya itu sudah meninggalkan mereka sekeluarga.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu ketika menyambut Aidilfitri bersama arwah sekeluarga di rumahnya sebelum berangkat pulang ke Perak.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sepanjang bercuti raya di sini, malah saya sendiri tidak merasakan akan berlaku sesuatu terhadapnya.

“Ketika sedang mengemas rumah, telefon saya berdering dan dalam fikiran, saya tidak memikirkan apa-apa berita buruk berlaku.

“Sebaik menjawab panggilan, saya terus tersentak apabila dimaklumkan Muhamad Amir terbabit dalam kejadian itu (nahas helikopter).

“Saya waktu itu seolah-olah tidak percaya dan berharap dia selamat,” katanya yang masih terkejut dengan berita pemergian anaknya,” katanya.

Ketika ini, kesemua ahli keluarga termasuk lapan lagi adik beradik Allahyarham Muhamad Amir berkumpul di rumah ibu bapa mereka.

Suasana sedih menyelubungi rumah terbabit dengan sanak saudara serta warga Felcra Bukit Kepong tidak putus-putus menziarahi keluarga Allahyarham.

Komandar Muhamad Amir adalah Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara 10 kru disahkan meninggal dunia selepas dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung dalam kejadian di Kem TLDM Lumut, Perak, hari ini.

Allahyarham mendirikan rumahtangga dengan Marliyati Basri dan dikurniakan tiga cahaya mata masing-masing berusia empat, 13 dan 16 tahun.

Difahamkan Allahyarham menyertai pasukan TLDM sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1997.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini