comscore
Tumpuan :
Nasional

Abang terkilan tak sempat selamatkan adik daripada rentung

M Manivannan menunjukkan gambar adiknya, M Jayakumar yang ditemukan rentung selepas bas ekspres yang dipandunya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun. FOTO: NSTP

ALOR SETAR: “Saya dah cuba selamatkan adik dengan menariknya untuk keluar ketika bas sedang terbakar tetapi badannya tersepit di tempat duduk menyebabkan saya berlari ke belakang dan buka pintu kecemasan untuk membolehkan empat penumpang keluar selamatkan diri,” kata M Manivannan.

Dalam kejadian jam 3.55 pagi tadi itu, adiknya, M Jayakumar yang memandu bas ekspres itu ditemukan rentung di tempat duduk pemandu.

M Manivannan (kiri) bersama anak dan adik bongsunya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar. FOTO: NSTP

Kejadian berlaku apabila bas yang dipandu Jayakumar, 48, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun di Sungai Petani menyebabkan kenderaan itu terbakar serta merta.

Menurut Manivannan, 50, ketika itu bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Jalan Duta, Kuala Lumpur membawa empat penumpang ke Hatyai, Thailand.

Mereka bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam.

Manivannan mengesahkan pada mulanya dia yang memandu bas itu sebelum diambil alih oleh adiknya pada jam 2.30 pagi ketika mereka berhenti di Alor Pongsu, Perak.

“Saya kemudian tidur di bahagian belakang bas dan tidak lama kemudian terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan nampak kepulan asap,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Keadaan bas ekspres yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler. FOTO: Ihsan PDRM

Tambah Mannivannan, susulan kejadian itu, dia bergegas untuk menyelamatkan adik tetapi tidak berdaya kerana dia tersepit.

Ini menyebabkan dia berlari semula ke bahagian belakang bas dan mengarahkan empat penumpang yang lain keluar melalui pintu kecemasan.

Jelas Mannivannan, selepas semuanya selamat dia berusaha sekali lagi untuk menyelamatkan adiknya tetapi gagal kerana api marak dengan cepat.

“Saya jerit sambil menangis ,Jayakumar…Jayakumar…tetapi adik dipercayai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum bas berkenaan hangus terbakar.”

Menurut Mannivannan, ketika kejadian itu beberapa pemandu kenderaan lain juga cuba membantu menyelamatkan adiknya tetapi gagal.

Jelas Mannivannan, adiknya baharu tiga bulan bekerja dengannya sebagai pemandu kedua.

Adiknya tinggal di Selama, Perak bersama isteri dan dua orang anak usia 14 dan 17 tahun.

Manakala beliau tinggal di Padang Serai, Kulim bersama emak mereka.

Menurut Mannivannan, mendiang merupakan anak kelima daripada 11 beradik manakala beliau pula anak keempat menyebabkan hubungan mereka sangat rapat.

“Sampai sekarang saya masih teringat kejadian itu  kerana adik saya terbakar depan mata dan mungkin jika bantuan tiba dengan cepat, adik saya dapat diselamatkan. Saya dan pemandu sebuah lori turut menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran tetapi api makin marak,” katanya.

Dalam kejadian itu, Manivannan mengalami luka di jari telunjuk tangan kiri, betis kanan serta dada.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu bas ekspres ditemukan rentung manakala enam lagi terselamat selepas bas itu terbakar dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun, di sini awal pagi hari ini.

Kesemua enam orang yang terselamat adalah pembantu pemandu bas, empat  penumpang serta pemandu lori treler terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini