comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Adik pulanglah, emak rindu ni’

Raemah bersama anaknya, Noraini menadah doa semoga anaknya segera dipertemukan. – FOTO: NSTP

MUAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh di Sungai Muar, dekat Kampung Tanjung Olak, Bukit Pasir, di sini, semalam.

Tragedi berlaku jam 5.30 petang semalam ketika mangsa Halit Wahot, 36 yang bekerja kampung, sedang menguji enjin bot yang baharu dibelinya.

Ibunya, Raemah Ahmad, 66, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu pada waktu Maghrib selepas penduduk serta anggota polis datang ke rumah menceritakan kejadian sebenar.

“Saya hairan kenapa ramai datang rumah namun mereka seolah-olah mahu memberitahu sesuatu. Mereka tidak tergamak nak cakap perkara sebenar.

“Malam tadi, saya solat hajat agar dia (Halit) ditemui. Ketika solat, saya terasa kelibat dia berdiri di sebelah.

“Saya reda apa saja ketentuan Allah SWT tetapi saya nak dia balik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Raemah turut dilihat menadah tangan berdoa sambil beberapa kali menyebut nama anaknya.

“Adik pulanglah, emak rindu ni. Ya Allah permudahkanlah pencarian anak aku.”

Dalam pada itu, kakak mangsa, Noraini, 41, berkata, sebelum kejadian, adiknya keluar menaiki bot dan secara kebetulan seorang pemancing dari Melaka melihat kelibatnya sedang menghidupkan enjin bot.

“Tidak lama kemudian, pemancing itu hanya melihat botnya berdekatan Serom manakala adik sudah tiada. Dia (pemancing) segera memberitahu penduduk mengenai perkara itu.

“Waktu kejadian, ada yang memberitahu tali kunci keselamatan bot tercabut dan dia sedang membetulkannya. Tapi, kami tidak menolak kemungkinan ketika itu ada objek datang dan melanggar botnya menyebabkan dia terjatuh.

“Kebiasaannya, dia bersama rakan turun ke sungai tapi pada hari kejadian, dia memberitahu mahu bergerak dulu,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Muar, Pegawai Bomba Kanan II Baharuddin Ab Rahman berkata, seramai 17 anggota dari Balai Bomba Muar dan Tangkak ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, tindakan awal ialah membuat penilaian menjalankan operasi mencari mangsa namun sehingga kini belum ditemui.

“Operasi ditangguhkan seketika kerana keadaan air pasang dan membahayakan anggota keselamatan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini