comscore
Tumpuan :
Nasional

“Adik saya tidak pernah pukul anak”

Rumah didiami tiga remaja yang ditemui tidak bermaya dengan dua daripadanya dirantai. – FOTO: Aizat Sharif

KANGAR: Kakak sulung kepada seorang ibu yang disyaki mendera tiga remaja berusia antara 13 ke 16 tahun di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di sini mendedahkan adiknya tidak pernah sekalipun memukul anak selama ini.

Hamiah Osman, 70 atau dikenali sebagai Kak Yam menetap di sebelah kediaman wanita itu di kampung berkenaan.

“Adik saya tidak pernah pukul anak mereka itu dan jarang sekali dia memarahinya cuma ada kalanya terpaksa meninggikan suaranya kerana anak mereka itu agak nakal dan terpaksa ditegur.

“Nakal pada maksud saya ini adalah anak mereka itu sukar dikawal tingkah laku mereka sehinggakan mereka ini sering ditemui berkeliaran di sekitar kawasan kampung ini.

“Jadi adik saya yang bertugas sebagai pekerja pembersihan di sebuah institusi pengajian tinggi di Kangar terpaksa merantai semua anaknya bagi mengelakkan mereka merayau-rayau di sekitar kampung ini,” katanya ketika ketika di sini hari ini.

Dua daripada tiga remaja yang ditemui dirantai oleh penduduk kampung, dipercayai didera ibu.

Katanya, adiknya bukan tidak mahu menghantar dua anaknya yang mengalami OKU masalah pembelajaran dan pendengaran ke pusat kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi dikhuatiri akan dibuli.

“Mereka adalah adik beradik tiri iaitu seibu tetapi berlainan bapa. Anak sulung yang berusia 16 tahun adalah daripada perkahwinan pertama adik.

“Sementara, remaja berusia 13 dan 14 adalah anak tiri dari pernikahan kedua, dan adik baharu berkahwin kali ketiga, Januari lalu,” katanya.

Hamiah berkata, bapa tiri baharu mereka seorang yang baik dan mesra dan sering membelikan makanan kepada remaja ini.

“Setiap petang, mereka juga sering bermain sepak raga bersama bapa tiri, saya juga tidak nampak tanda mereka itu pernah didera atau tangisan jika mereka didera,” katanya.

Suami kepada Hamiah, Bahari Man, 74, berkata, kenakalan anak saudaranya itu dapat dilihat menerusi keadaan dalam rumah remaja itu yang tunggang langgang.

“Jeriji tingkap rumah juga patah selain jendela yang rosak tanpa tingkap.

“Kami percaya mereka meloloskan diri dari jendela tidak bertingkap itu. Kami sangat khuatir keselamatan mereka jika keluar merayau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan pada remaja berkenaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan penemuan tiga beradik dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dengan dua daripadanya dirantai pada kaki di tepi Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat selepas dipercayai dikurung oleh ibu mereka.

Loading...
Terkini