comscore
Tumpuan :
Nasional

Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula hujung tahun atau selewatnya Mac depan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penggerak penumpang automasi (APM) atau aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadual memulakan operasinya bermula akhir tahun ini atau selewat-lewatnya Mac 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penjadualan operasi itu mengambil kira kesediaan kontraktor dilantik dari aspek teknikal dan infrastruktur.

“Skop pelan penggantian aerotrain di KLIA T1 merangkumi beberapa aspek iaitu sistem APM membabitkan kenderaan, isyarat dan rel kuasa.

“Selain itu, infrastruktur dan sistem lain yang diperlukan untuk sama ada pengubahsuaian, pemulihan, pengganti bagi menampung APM baru melibatkan ‘Track 1,2 dan 3’, penyelenggaraan, penyimpanan dan kemudahan bangunan (Depot), sistem agihan kuasa serta komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri M Saravanan (BN-Tapah) yang mahu mengetahui status APM di KLIA memandangkan ia amat penting untuk memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang dalam perjalanan melalui KLIA.

Pelan penggantian aerotrain di KLIA Track 1 sudah dimulakan sejak 14 Mac 2022 lalu, turut membabitkan kerjasama antara syarikat Alstom dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC).

Sejak kerja penggantian dilaksana, orang ramai perlu menggunakan bas sementara untuk ke terminal menaiki pesawat.

Keadaan itu menyebabkan kesukaran kepada ribuan penumpang di KLIA setiap hari khususnya warga emas dan kanak-kanak yang perlu berjalan lebih jauh untuk menuju ke tempat menunggu bas.

Mengakui kesukaran dihadapi penumpang di KLIA, Anthony pada tahun lalu meminta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyelesaikan isu kontrak dengan pihak kontraktor serta mahu projek itu dapat disiapkan dengan kadar segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini