comscore
Tumpuan :
Nasional

Agensi kerajaan, GLC diseru tampil hulur bantuan pasca banjir

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran tampil menghulurkan bantuan pasca banjir kepada mereka yang terkesan dengan bencana itu, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata bantuan ini amat diperlukan mangsa banjir, bagi mereka memulakan semula kehidupan selepas kediaman dinaiki air sekali gus menyebabkan banyak harta benda musnah.

“Saya menyeru agensi, GLC dan GLIC meneruskan usaha bantuan kepada rakyat ketika rakyat menerima musibah tanpa mengira dinegeri mana mereka berada.

“Di negeri lain, diharap tidak dilanda banjir sebab selalunya awal Januari ini akan ada beberapa negeri dilanda banjir. Tapi tahun ini kelihatan tidak ada banjir dimana-mana lagi,” katanya ditemui pada Majlis Pelepasan Konvoi

Sumbangan Banjir ke Kelantan dan Terengganu di pekarangan Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan konvoi PR1MA yang akan bergerak ke negeri pantai timur dalam misi bantuan banjir mereka di sana.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM900,000 sumbangan membabitkan 7,000 barangan disalurkan PR1MA dalam misi ini meliputi bantuan seperti tilam, makanan, telekung dan kelengkapan sekolah.

“Ini satu CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang cukup baik dilakukan PR1MA. Saya harap ketika musibah ditempat lain, sebagai agensi yang ada keupayaan, kita dapat membantu.

“Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan sebelum ini juga membantu. Hari ini giliran PR1MA membantu. Walaupun banjir sudah surut, tapi kesan banjir itu masih ada untuk kerja pembersihan dan bantuan keperluan yang boleh dihantar. Ini satu usaha yang baik,” katanya.

Beliau berkata, sungguhpun pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup, bantuan pasca banjir ini masih boleh diagihkan membabitkan kerjasama dengan agensi diperingkat setempat serta koordinasi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kita juga memberikan kebijaksanaan kepada pemimpin setempat dan agensi kerajaan pusat tentunya seperti NADMA, mereka yang menyeleraskan bantuan.

“Segala bantuan diurus NADMA supaya dapat diberikan dengan lebih adil kepada semua mangsa. Sama juga dalam hal kewangan yang diuruskan NADMA,” katanya.

Loading...
Terkini