comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong mahu isu khemah sempit di Mina diteliti, ditangani – Mohd Na’im

Jemaah Malaysia di khemah Mina. – Foto ihsan TH

MAKKAH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya isu ruang sempit dalam khemah di Mina diteliti dan ditangani.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar perkara itu dititahkan oleh baginda kepada beliau melalui teks pesanan secara peribadi pagi semalam.

Justeru katanya, beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/JAKIM) memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu berkenaan terutama dari aspek bermabit di Mina.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana sekiranya masih berpegang kepada ijtihad lama, masalah kesesakan dalam khemah di Mina yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji akan berterusan berikutan keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.

Jemaah Malaysia di khemah Mina. – Foto ihsan TH

“Islam adalah agama yang memberi penyelesaian kepada setiap masalah. Oleh itu, isu ruang sempit dalam khemah sehingga menyebabkan jemaah mengalami kesukaran ketika bermabit di Mina perlu dilihat semula dan dibincangkan secara teliti oleh jawatankuasa penasihat bagi mencari penyelesaian terbaik dengan ijtihad baharu. Tujuannya ialah bagaimana kita hendak memastikan keselesaan sebab ia berkait rapat dengan ibadah. Jika seseorang jemaah itu berasa marah saja kerana tidak selesa, ia akan mengganggu ibadahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.

Yang turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai ijtihad baharu yang boleh dibincangkan, Mohd Na’im berkata sebagai contoh ada negara membenarkan jemaah haji mereka tinggal di luar kawasan masyair dan berulang alik untuk bermabit dalam tempoh jam tertentu di Mina. Sambil menjelaskan penelitian jawatankuasa penasihat itu perlu mengambil kira keperluan jangka panjang.

Beliau bagaimanapun menekankan, tidak timbul isu kuota jemaah haji akan dikurangkan sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dalam khemah di Mina.

Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) terdiri daripada lapan pakar yang antara lain bertanggungjawab memutuskan kedudukan hukum-hakam berkaitan isu ibadah haji yang dirujuk. Secara umum, jawatankuasa itu akan membawa cadangan kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan sebelum ia dimuktamadkan. Muzakarah terbabit dibarisi antara 300 hingga 400 ilmuwan Islam yang arif dalam urusan ibadah haji. Sebarang keputusan akan turut mengambil kira pelbagai aspek berkaitan seperti peraturan di Arab Saudi, kos dan logistik.

Tambah Mohd Na’im pengurusan tertinggi TH akan mengadakan mesyuarat ‘post-mortem’ bagi menilai secara terperinci perjalanan musim haji tahun ini dan mengenal pasti ruang penambahbaikan sebagai persiapan untuk Musim Haji 1445H/2024M. Katanya, TH juga akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi.

Loading...
Terkini