comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli lembaga pengarah, hala tuju DNB diumum esok

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelantikan ahli lembaga pengarah dan hala tuju Digital Nasional Bhd (DNB) akan diumumkan esok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Pulau Pinang.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) beri penegasan tentang pelaksanaan rangkaian 5G dan antara yang telah dipersetujui bahawa insya-Allah esok Gobind akan berada di Pulau Pinang untuk satu acara bersama dengan DNB.

“Beliau akan membuat beberapa pengumuman dengan pelantikan ahli lembaga pengarah dan beberapa hala tuju bagi DNB esok,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Selain itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengadakan perbincangan dan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.

MoU itu bagi mempercepat pelaksanaan penerimagunaan rangkaian 5G khusus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri.

“Perdana Menteri telah memberi penegasan bahawa manfaat daripada 5G selain daripada untuk rakyat biasa, setakat 17 April lalu, lebih 35 peratus daripada keseluruhan jumlah pengguna telco yang telah memanfaatkan atau menempah pakej 5G.

“Tapi manfaat utama 5G adalah pada penerimagunaan dan pelaksanaan rangkaian tersebut bagi sektor industri dan juga PMKS,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, pengumuman tambahan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G akan dilakukan pada minggu depan sekiranya ia berjalan lancar.

Tambahnya, pengumuman itu akan memberikan hala tuju sangat jelas termasuk berhubung dasar dwirangkaian 5G.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini