comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air pasang: 2 rumah roboh, 9 kediaman terjejas di Sabah

 

KOTA KINABALU: Fenomena air pasang besar serta ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, malam tadi menyebabkan dua rumah roboh manakala sembilan lagi kediaman terjejas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata air pasang besar mula naik sekitar jam 5 petang dan pasukannya memaklumkan dan mengingatkan penduduk di kawasan berkenaan supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia.

“Hasil pemeriksaan didapati 11 rumah yang terkesan. Dua daripadanya roboh dan dihanyutkan manakala sembilan yang lain dinaiki air dan dipukul ombak.

Atas sebab keselamatan, kita mengarahkan penduduk untuk mengosongkan rumah mereka,” katanya ketika ditemui selepas meninjau situasi berkenaan di Kampung Tanjung Aru Baru, malam tadi.

Keadaan rumah yang rosak teruk susulan fenomena air pasang besar dan ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu. – Foto NSTP



Beliau berkata, kejadian itu juga menyebabkan beberapa jambatan di kawasan kampung berkenaan turut rosak akibat dipukul ombak.

“Setakat ini, seramai 32 keluarga membabitkan 273 orang dikenalpasti terjejas akibat fenomena ini.

“Mangsa kini ditempatkan di Dewan Terbuka Tanjung Aru, manakala terdapat segelintir yang menumpang bersama saudara-mara mereka yang tinggal berdekatan,” katanya.

Jelasnya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan menyelamat masih menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) masih menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Sabah bermula 23 hingga 26 Disember ini.

Menerusi laman Facebook MetMalaysia, jabatan itu memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa bahagian di negeri ini.

Loading...
Terkini