comscore
Tumpuan :
Nasional

Ajal sehari sebelum Syawal

FOTO: Ihsan Polis

 

MELAKA: Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, yang beralamat di Pantai Kundor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15 dari arah Bukit Rambai menghala ke Tanjung Minyak.

FOTO: Ihsan Polis

“Sebaik sampai di tempat kejadian sebuah kereta Honda City dipandu pelajar universiti berusia 22 tahun dari arah hadapan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan manakala pemandu kereta terseliuh tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan selain turut mengambil sampel darah pemandu terbabit untuk ujian toksikologi,” katanya.

Terdahulu, tular video seorang wanita dipercayai ibu penunggang motosikal itu gagal mengawal emosi sebaik membuka kain yang menutupi mayat.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan wanita berkenaan dan beberapa individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit dan meraung memanggil nama remaja itu yang sudah tidak bernyawa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini