Oleh Azzarouq Zulkiply dan Siti Khadijah Jaafar
BUKIT JALIL: Lagu Terus Hidup hasil karya dan nyanyian Aina Abdul diumumkan sebagai Juara di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 yang berlangsung di Axiata Arena, di sini, malam ini.
Beliau yang dinobatkan sebagai juara juga memenangi vokal terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM112,000 dan dua trofi.
Naib Juara pula milik lagu Satu Malam Di Temasek, dicipta dan dinyanyikan oleh Joe Flizzow dan Sonaone, membawa pulang trofi dan RM50,000.
Menduduki tempat ketiga ialah Alif Satar dengan lagu Anugerah Terindah ciptaan beliau bersama Shah Shamshiri & Romeo
bersama komposer, Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam & Acap Salim, membawa pulang trofi dan RM30,000.
Kategori Persembahan Terbaik dimenangi Shiha Zikir dengan lagunya Irama, membawa pulang RM12,000 serta trofi.
Khai Bahar memenangi kategori Penyanyi Pilihan Popular Alha Alfa, membawa pulang hadiah RM12,000 dan trofi.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang!