comscore
Tumpuan :
Nasional

Akademi Industri mampu tingkat kemahiran 100,000 pekerja tempatan

Rafizi pada sidang media selepas mesyuarat PEMUDAH di Putrajaya, hari ini. -FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melancarkan Akademi Industri peringkat nasional pada suku ketiga tahun ini, program latihan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran 100,000 pekerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sebagai permulaan, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menjalankan projek rintis membabitkan 10 syarikat besar dalam pelbagai bidang khususnya perkilangan.

Katanya, Akademi Industri akan tertumpu kepada kekosongan dalam sektor perkilangan tertentu membabitkan jawatan juruteknik ke bawah, di mana program berkenaan terbuka kepada pelajar lepasan sekolah, pelajar lepasan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), graduan dan bekas banduan.

“Kami bersetuju untuk memulakan proses pelancaran program Akademi Industri bersama 10 syarikat terlebih dahulu sebelum dilancarkan di peringkat kebangsaan dengan sasaran untuk meningkat 100,000 pekerja pekerja membabitkan 10,000 syarikat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat PEMUDAH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, bagi menyokong program berkenaan, kerajaan akan menyediakan insentif untuk tempoh beberapa bulan pertama kepada peserta Akademi Industri, selain akan mengumumkan beberapa manfaat kepada syarikat berkenaan.

Katanya, menerusi akademi itu, syarikat yang terbabit akan membangunkan sendiri silibus dan program untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam tempoh 12 hingga 24 bulan.

“Akademi Industri menyediakan ruang kepada industri melatih pekerja dengan kemahiran dan teknikal berbanding hanya tertumpu kepada persijilan daripada institusi. Buat masa ini, kita belum kenal pasti lagi 10 syarikat pertama,” katanya.

Dalam mesyuarat sama, Rafizi berkata, PEMUDAH akan mewujudkan rangka kerja untuk memendekkan permohonan baharu dan pembaharuan permit ekspatriat di negara ini kepada lima hari berbanding 87 hari ketika ini.

Katanya, PEMUDAH bersama jabatan kerajaan berkenaan menyasarkan untuk memudahkan proses berkenaan menerusi keseragaman sistem bermula pertengahan Jun ini, dengan menaik taraf sistem sedia ada.

“Kumpulan kerja PEMUDAH, iaitu wakil kerajaan dan swasta setuju untuk mepercepatkan kelulusan permohonan dan pembaharuan permit ekspatriat.

“Rasionalisasi proses permohonan dan pembaharuan akan dilaksanakan. Kita tidak mahu pelabur berdepan dengan kerenah birokrasi untuk membawa ekspatriat mereka ke negara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang berusaha memantapkan proses kebenaran merancang pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya diseragamkan dalam julat masa yang lebih pendek.

Katanya, buat masa ini terdapat jurang yang sangat besar dalam proses kebenaran merancang PBT yang mengambil masa antara 60 hari hingga 200 hari.

“Kita akan mempertimbang ekosistem yang membolehkan PBT lebih cekap dalam aspek kebenaran merancang yang disifatkan agak lama ketika ini. Hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang agak cepat meluluskan kebenaran merancang dalam masa 58 hari. Ada PBT lain sehingga 200 hari. Kita akan seragamkan perkara ini,” katanya.

Loading...
Terkini