comscore
Tumpuan :
Nasional

Garis panduan baharu kenal pasti pokok berusia, berisiko tinggi siap Julai – DBKL

Gambar Fail: Insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan garis panduan baharu memfokus kepada aspek pokok berusia dan berisiko tinggi di ibu negara sedang ditambah baik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, DBKL memaklumkan garis panduan baharu itu dijangka siap Julai depan, namun pihaknya akan terus menjalankan kerja-kerja pemantauan terhadap pokok berisiko dengan mengambil kira aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Setakat ini, menurutnya, sebanyak 175 pokok dikenal pasti berisiko tinggi yang mana sebahagian besarnya berusia lebih 50 tahun, dengan 147 daripada pokok terbabit sudah ditebang.

“DBKL menerusi kontraktor yang dilantik telah menjalankan pemeriksaan ke atas pokok berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit lebih 1.5 meter, di sekitar Kuala Lumpur sejak 2019.

“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah. Pemeriksaan terakhir ialah pada Februari 2024 dengan 28 pokok dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pokok berisiko merujuk pokok yang berpotensi tinggi mengalami kegagalan struktur serta tumbang, dan penilaian risiko pokok dilakukan dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

“Jika keadaan pokok didapati tidak memuaskan, penilaian lanjut diikuti dengan tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan pokok, akan dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak DBKL menzahirkan dukacita dan ucapan takziah kepada semua mangsa dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lalu.

“Bagi mangsa terbabit, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya, dengan mereka boleh menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan),” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang 7 Mei lalu, hujan lebat serta angin kencang menyebabkan sebatang pokok tumbang sehingga meragut nyawa seorang lelaki dan dua lagi cedera, selain menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini