comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta 750 masih terpakai di seluruh negara – PMO

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu.

PMO mengulas beberapa laporan akhbar yang menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah menolak pemakaian Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750].

Menurut PMO adalah menjadi pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh
Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tujuan Akta 750 ini digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara
keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan Malaysia serta bagi menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah.

Menurut kenyataan itu lagi, penggubalan Akta 750 juga adalah bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

Sehubungan itu, walaupun DUN Terengganu telah membuat keputusan menolak pemakaiannya [Akta 750] namun ia masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Negeri Terengganu melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan Malaysia termasuk perairan Malaysia sentiasa dilindungi.

Terengganu adalah negeri ketiga selepas Kelantan dan Sabah menolak akta itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Akta 750 tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung kelulusan daripada kerajaan negeri dan Majlis Raja-Raja.

Menurut Ahmad Samsuri lagi, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika dari garis air susut sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini