comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suri rumah nyaris dilarikan sekumpulan lelaki tidak dikenali

Seorang wanita mengalami kecederaan dipercayai selepas cuba dilarikan sekumpulan lelaki di kediamannya di Taman Lagenda Putra, Kulai malam tadi. Foto tular di media sosial.

KULAI: Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila nyaris dilarikan oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di hadapan kediamannya di Taman Lagenda Putra di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee dalam satu kenyataan berkata dalam kejadian berkenaan mangsa turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk wajah, tangan dan kaki.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun yang juga suami mangsa pada jam 9.30 malam semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa ketika berada di dalam kediamannya, dia terdengar jeritan isterinya yang berada di hadapan rumah.

Katanya, dia mendapati isterinya mengalami kecederaan termasuk di bibir, tangan dan kaki.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan warga tempatan berusia 47 tahun ditumbuk, diseret atas jalan raya oleh empat lelaki tidak dikenali.”

“Suspek turut cuba menarik masuk mangsa ke dalam sebuah kereta namun gagal,” kata Seng Lee.

Beliau berkata mangsa tidak pasti nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Menurutnya, pihak polis sedang memburu suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Katanya, bagaimanapun tiada kejadian cabul seperti yang ditular dalam media sosial Facebook (FB).

Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan spekulasi kejadian kerana ia boleh mengelirukan ramai dan menimbulkan kebimbangan ramai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Polis meminta mana-mana saksi yang memiliki maklumat berkaitan kejadian tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor R Arun di talian 013-3332385.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini