comscore
Tumpuan :
Nasional

Alas kaki tertera gambar kaabah sebenarnya adalah sejadah 

A&R sudah mengesahkan bahawa produk yang didakwa ‘alas kaki’ tertera gambar Kaabah adalah sejadah mini. – Foto tular

KUALA LUMPUR: Satu video tular beberapa hari lalu yang mendakwa ‘alas kaki’ tertera gambar kaabah yang dijual disebuah pasaraya di Johor sebenarnya adalah sejadah mini.

AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, menyedari siaran media sosial berhubung kesalah fahaman berkaitan sejadah yang dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

Katanya, pihaknya sudah pun dimaklumkan mengenai isu ini pada Selasa lalu serta sudah memberikan kerjasama sepenuhnya dan kenyataan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Pembekal yang terbabit, A&R Fashion Collection (A&R) adalah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) milik 100 peratus Bumiputera dan Islam yang membekalkan pakaian muslimah patuh syariah seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin, songkok, serta produk lain seperti sejadah, permaidani dan tikar.

“A&R sudah mengesahkan bahawa produk berkenaan sememangnya merupakah sejadah mini, di mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa,” katanya.

Katanya, syarikat pembekal itu ditubuhkan pada 2007 dan sudah menjadi pembekal pasaraya berkenaan sejak 2015, selain menjadi pembekal kepada peruncit lain serta mengendalikan kedai mereka sendiri.

Bagaimanapun, pasaraya itu berkata, selaras amalan terbaik AEON BiG untuk pembekal PKS, A&R sudah menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain syarikat berkenaan.

“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi, lantas terus menyebabkan kekeliruan.Perkara ini sudah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan itu sebagai sejadah sudah pun dicerminkan,” katanya.

Katanya, kedua-dua pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap kenyataan bersama ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.

“Kami berharap agar spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum akan dihentikan.

“AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAIJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan JAIJ merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, sehari sebelum Aidilfitri lalu susulan aduan orang awam selain tular di media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini