comscore
Tumpuan :
Nasional

Alasan tumpang tidur mudah pergi dan balik ke tempat kerja, pasangan dicekup berkhalwat

Pegawai penguat kuasa PADK melakukan pemeriksaan dalam sebuah rumah di Taman Mutiara, Sungai Kob, Karangan dan menahan pasangan yang disyaki berkhalwat. – NSTP/ Ihsan PADK

KULIM: Sepasang kekasih dicekup berkhalwat sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), di sebuah rumah Taman Mutiara, Sungai Kob di Karangan di sini, tengah malam tadi.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan maksiat di lokasi, jam 12.13 malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan diketuai Azwan Azman, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu membenarkan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.

“Kami menemui seorang lelaki berada dalam bilik kedua rumah terbabit dan hasil soal siasat, kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mahram dan tidur di bilik sama sehingga menimbulkan syak berlakunya maksiat.

Lelaki berkenaan memberi alasan terpaksa menumpang tidur di rumah teman wanitanya untuk memudahkan dia pergi dan pulang kerja kerana dekat dengan tempat kerjanya.

“Wanita dan pasangannya masing-masing berusia 23 tahun itu masih belum berkahwin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kedua-dua mereka bekerja di tapak pesta ria di taman perumahan itu dan lelaki terbabit menetap di Sungai Ular, dekat sini.

Katanya, lelaki itu memberi alasan yang rumahnya jauh dari tempat kerja menyebabkan dia mengambil peluang menumpang di rumah wanita itu disebabkan ibu wanita terbabit berada di rumah abangnya di Pahang manakala bapa tirinya tiada di rumah.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Pasangan dibawa ke Balai Polis Sungai Kob untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan,” katanya.

Loading...
Terkini