comscore
Tumpuan :
Nasional

Annuar sudah beri keterangan kepada SPRM

Tan Sri Annuar Musa. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau sudah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu.

Ia berhubung dakwaan jutaan ringgit diserahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Umno ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.

Katanya, beliau sudah membuat penjelasan penuh kepada SPRM, perjalanan cerita sebenar berhubung dakwaan berkenaan.

“Apabila SPRM panggil saya untuk beri keterangan, saya sangat suka hati dan saya beritahu semua jalan cerita sebenarnya yang telah saya lalui, saya ucap terima kasih dan akan terus beri kerjasama kepada SPRM, itu tanggungjawab saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional (MN) di sini, hari ini.

Pada 6 Disember lalu, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan Annuar berhubung Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri memberi Umno jutaan ringgit bagi membantu parti itu ketika PRN Sabah pada 2020.

Terdahulu, pada 21 November lalu, menerusi video di TikTok Annuar mendakwa Muhyiddin menemuinya di Sabah untuk memberikan ‘berpuluh juta’ ringgit, malah kenyataannya itu menimbulkan persoalan daripada mana datangnya wang itu.

“Saya loncat naik atas kapal terbang pergi ke Sibu…tanya Muhyiddin, saya masuk dalam bilik tidur dia beritahu Umno habis duit di Sabah, tak cukup duit. Berpuluh juta Muhyiddin bagi membantu Umno Sabah,” kata Annuar dalam video itu.

Dalam video itu, Annuar berkata, dakwaan Pengerusi PN itu mahu ‘membunuh’ Umno adalah palsu dan rekaan.

Loading...
Terkini