comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar mulakan tugas rasmi Menteri Kewangan

 

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA:  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di sini pagi ini bagi memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Kewangan.

Ketibaan beliau jam 7.57 pagi disambut pegawai kanan dan kakitangan kementerian.

Antaranya, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datin Rashidah Mohd Sies.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; CEO Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Perdana Menteri kemudian mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik permulaan tugas rasmi beliau sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai MOF dan agensi-agensi di bawah MOF.

Anwar, 75, pernah memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun dari 1991 hingga 1998 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 24 November lalu.

Pada 2 Disember lalu, Anwar mengumumkan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang disertai 27 menteri termasuk dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Semalam beliau mempengerusikan mesyuarat khas pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra .

Loading...
Terkini