comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Misi ke Jerman, Perancis bawa potensi pelaburan RM46 bilion

Misi di Jerman sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara itu dari 11 hingga 15 Mac 2024 – FOTO: Tengku Zafrul / Facebook

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperoleh potensi pelaburan RM46 bilion dan eksport RM2.4 bilion daripada Misi Perdagangan & Pelaburan ke Jerman dan Perancis yang berakhir baru-baru ini.

Misi yang diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu meliputi bandar Berlin dan Hamburg di Jerman, selain Paris di Perancis dari 11 hingga 19 Mac 2024.

Misi di Jerman adalah sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman dari 11 hingga 15 Mac 2024.

Delegasi misi yang merangkumi pegawai dari MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengadakan pertemuan peringkat tinggi bersama syarikat Eropah dalam sektor disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) seperti semikonduktor, automotif, aeroangkasa, kereta api, bahan kimia, peralatan perubatan selain jentera dan peralatan.

Antara syarikat terkemuka yang ditemui semasa misi itu ialah X-Fab, Melexis, Infineon Technologies AG, Airbus Group, Schott Glass, BMW, Nexperia, B-Braun, Michelin, Institut de Soudure (IS) Groupe dan Simaero.

Syarikat terbabit berkongsi pelan pelaburan mereka dan minat untuk membina kerjasama strategik di Malaysia, yang akan menyumbang kepada landskap ekonomi Malaysia terutamanya dari segi pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dalam negara.

Dari segi potensi eksport, Tengku Zafrul mengadakan perbincangan bersama Airbus Group, Deutsche Bahn, Safran, dan X-Fab (Perancis) untuk mengukuhkan lagi minat mereka untuk menyumber dari Malaysia.

Tengku Zafrul berkata, interaksi dengan syarikat-syarikat Jerman dan Perancis adalah sebahagian daripada libat urus strategik untuk memberikan perkembangan terkini kepada mereka mengenai pelaksanaan NIMP 2030, komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan pantas projek selain pendirian mesra perniagaan untuk mengembangkan pelaburan dan perdagangan.

“Pintu kita sentiasa terbuka untuk syarikat dari Jerman dan Perancis, dua pendorong utama pertumbuhan ekonomi dan kuasa besar perindustrian Eropah, yang akan merintis jalan bermakna ke arah perindustrian semula negara kita serta melonjakkan ekonomi.

“Libat urus ini juga disasar untuk meningkatkan pembabitan Malaysia dalam rantaian nilai global, sekali gus memudah cara integrasi ke dalam pasaran antarabangsa.

“Dengan membina hubungan kerjasama dengan pemain-pemain penting di Jerman dan Perancis, Malaysia mahu memperluaskan kehadiran dalam perdagangan global dan memperkukuhkan kedudukan sebagai rakan yang boleh dipercayai serta berdaya saing dalam pelbagai industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia-Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus untuk mencecah AS$13.91 bilion (RM63.46 bilion), meletakkan Jerman sebagai rakan perdagangan ke-13 terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Dari segi pelaburan, setakat 2023, sejumlah 486 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat Jerman bernilai AS$12.08 bilion (RM45.69 bilion) telah dilaksanakan dan mewujudkan 49,591 peluang pekerjaan.

Perdagangan dua hala Malaysia-Perancis pula bernilai AS$3.68 bilion (RM16.71 bilion), meletakkan Perancis sebagai rakan perdagangan ke-22 terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara EU.

Dari segi pelaburan, setakat 2023, sejumlah 137 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat Perancis bernilai AS$1.43 bilion (RM4.84 bilion) telah dilaksanakan dan mewujudkan 11,344 peluang pekerjaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini