comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar, PM Thailand adakan pertemuan empat mata

FOTO: Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin untuk berbincang mengenai usaha meningkatkan hubungan dua hala.

Ketibaan Srettha pada jam 2.55 petang di bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri disambut oleh Anwar, sebelum kedua-dua pemimpin terus ke tingkat empat untuk memulakan perbincangan.

Perbincangan mereka dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Thailand yang telah lama terjalin, sebagai negara yang berjiran dan negara anggota ASEAN.

Srettha berada di Malaysia untuk lawatan kerja dua hari bermula hari ini dan ia merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand pada 5 September lalu.

Anwar dan Srettha sebelum ini pernah mengadakan pertemuan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York bulan lalu.

Pada 2022, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), peningkatan 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (AS$23.54) pada 2021. – BERNAMA

Loading...
Terkini