comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anwar tegas pendirian tidak ambil gaji, pulangkan semula elaun Pengerusi Khazanah

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya tidak mengambil gaji seperti yang diumumkan sebelum ini.

Malah jelasnya, akan memulangkan semula elaun diterimanya sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

“Tadi saya mempengerusikan mesyuarat Khazanah, rupanya pengerusi Khazanah ini…selama ini Perdana Menteri semua ada elaun (selaku pengerusi Khazanah), saya tidak tahu.

“Selepas beberapa bulan, masuk akaun bank, elaun mesyuarat tapi saya beritahu saya tidak mahu, jadi saya terpaksa pulangkan balik elaun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MiED) di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan itu bukan kenyataan politik, sebaliknya menunjukkan semangat sebagai seorang pemimpin yang mahu membantu memperbaiki nasib rakyat.

“Bagi saya ini bukan kenyataan politik, saya bekerja dengan semangat, dengan keyakinan, saya lalui cara hidup yang sangat susah dan derita untuk mengajar saya apabila ada kuasa, cuba sebaik mungkin untuk membantu memperbaiki nasib rakyat.

“Sebab itu saya kata, saya bukan dari keluarga yang kaya dan saya tidak ambil gaji sebagai Perdana Menteri, kemudian ada orang kata tak ambil gaji Perdana Menteri tapi ambil gaji sebagai Menteri Kewangan, itu tidak benar,”katanya lagi.

Mengulas mengenai tindakan kerajaan, jelas Anwar tiada diskriminasi berdasarkan warna kulit, sebaliknya semua kaum akan dibela kerajaan hari ini.

“Saya sudah cakap dan menjadi sasaran kita sejak tahun lalu, untuk menghapuskan miskin tegar dan sudah tentu berdasarkan angka, Melayu adalah majoriti tetapi berdasarkan ratio populasi, masyarakat India adalah antara yang paling miskin.

“Alhamdulillah semua di Kuala Lumpur, Melayu, India dan Cina lepas (sudah terkeluar) daripada kategori miskin tegar. Sekarang kita capai untuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor, manakala kita sedang usahakan untuk negeri-negeri lain,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini