comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM patahkan cubaan seludup rokok dalam guni pisang.

Foto APMM – Juragan bersama penumpang wanita warga Indonesia ditahan APMM kerana disyaki menyeludup rokok tanpa cukai.

TAWAU: Taktik seorang juragan lelaki tempatan menyembunyikan rokok seludup bernilai RM18,000 dalam guni mengandungi pisang terbongkar susulan penahanan sebuah bot penumpang dari Pulau Sebatik, di Jeti CIQ dekat sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ia susulan maklumat risikan menerusi “Ops Sejahtera” mengenai aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai di jeti terbabit sebelum bot penumpang itu ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 6 pagi.

Beliau berkata, juragan berusia 33 tahun dditahan bersama seorang penumpang wanita warga Indonesia berumur 48 tahun yang berada di dalam bot terbabit bersama muatan beberapa guni pisang.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan 28,000 batang rokok kretek yang disembunyikan di dalam guni yang berisi muatan pisang yang disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Nilai rampasan keseluruhan termasuk bot beserta enjin dianggarkan berjumlah RM43,000,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Shahrizan berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat APMM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Loading...
Terkini