comscore
Tumpuan :
Nasional

Arab Saudi lihat anak bulan Syawal sehari awal kerana Ramadan lebih awal

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Arab Saudi melaksanakan cerapan hilal bagi penetapan rasmi 1 Syawal pada petang semalam iaitu sehari lebih awal dari Malaysia berikutan 1 Ramadan di negara tersebut adalah lebih awal daripada negara ini.

Dalam kenyataan lewat petang ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, ini kerana kedudukan negara berkenaan yang berada lebih ke barat daripada Malaysia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memaklumkan bahawa cerapan Hilal Syawal di Malaysia bagi tahun ini (1445H) adalah pada petang hari ini Selasa, 29 Ramadan 1445H bersamaan 9 April 2024.

“Kaedah yang diguna pakai di Malaysia bagi penentuan awal Syawal adalah Kaedah Rukyah (cerapan hilal) dan Hisab (hitungan kedudukan anak bulan) berpandukan Kriteria Imkanur Rukyah,” katanya.

Jelasnya, kriteria itu merujuk kepada syarat yang mana anak bulan dikira kelihatan sekiranya berada pada kedudukan tidak kurang dari ketinggian 3 darjah dan 6.4 darjah jarak lengkung ketika matahari terbenam.

Mohd Na’im berkata demikian susulan pengumuman tarikh hari raya Aidilfitri bagi Arab Saudi yang akan menyambut 1 Syawal pada esok (10 April) yang telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, menurutnya, pengumuman tarikh 1 Syawal 1445H bagi Malaysia akan dibuat malam ini sejurus selepas menerima laporan hasil cerapan hilal yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Majlis Raja-Raja.

Seterusnya pengisytiharan tarikh 1 Syawal akan dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama.

“Semua pihak dinasihatkan supaya bersabar dan menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini