comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Arwah ayah sangat baik’

AMPANG JAYA: “Arwah ayah seorang yang sangat baik, jika keluar menunggang motosikal sekalipun dia akan balik ke rumah sebelum Zohor kerana akan solat setiap hari di surau berhampiran rumah di Pandan Indah,” kata Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Penunggang motosikal maut elak motosikal lawan arus

Hafidz adalah anak kepada Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 60an, yang maut di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Muhammad Hafidz berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila dihubungi rakannya yang memaklumkan mengecam motosikal Ducati Panigale itu yang selalu digunakan dia dan bapanya tular di media sosial.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi adiknya dan bertanya adakah bapa mereka keluar menggunakan motosikal itu sebelum adik mengiyakannya.

“Saya difahamkan ketika kejadian arwah ayah hendak masuk simpang di lebuh raya itu sebelum datang sebuah motosikal lain melawan arus.

“Arwah ayah cuba mengelak tetapi dia terbabas sebelum terjatuh ke bawah di lebuh raya itu,” katanya kepada Harian Metro.

Artikel berkaitan: Polis buru individu lawan arus sebabkan penunggang Ducati maut

Katanya, mereka memiliki lima motosikal di rumah kerana bapanya sejak muda sehingga sudah bersara pun masih minat menunggang motosikal.

“Ayah memang suka menunggang motosikal tetapi tidaklah ke tempat yang jauh kerana dia akan balik sebelum Zohor.

“Arwah setiap hari akan solat Zohor di surau berhampiran rumah dan dia akan menjadi orang pertama yang sampai di sana dulu malah dikenali ahli kariah surau,” katanya.

Menurut Muhammad Hafidz, arwah ayah seorang yang baik hati dan satu lagi sikap terpujinya apabila setiap petang dia akan ke rumah abangnya yang diserang angin ahmar di Cheras melawatnya.

“Itu memang sikap arwah ayah jika ada saudara yang sakit dia tetap akan pergi ziarah walaupun sehingga ke Ipoh, Perak dan Melaka.

Katanya, dia memohon orang ramai mendoakan arwah bapanya supaya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

“Arwah ayah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas selesai proses bedah siasat hari ini,” katanya.

Loading...
Terkini