comscore
Tumpuan :
Nasional

Askar gagalkan cubaan seludup barang bersubsidi melalui lorong tikus

LAWAS: Sepasukan anggota tentera menggagalkan cubaan untuk menyeludup barangan bersubsidi ke negara jiran apabila menemui 35 karton gula seberat 420 kilogram serta 140 liter minyak diesel yabg ditutupi dengan kanvas disorok dalam hutan.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, barangan berkenaan ditemui di Sektor Operasi Jagakawan Ba’kelalan di utara Sarawak hari ini (29 Mac).

“Pada jam 9.45 pagi, sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Kg Punang Kelalan, Ba’kelalan, Sarawak iaitu jarak lebih kurang 900 meter dari sempadan Indonesia telah menjumpai bungkusan kanvas yang mencurigakan.

“Hasil daripada pemeriksaan mengesahkan terdapat 35 karton gula berjumlah 420 kilogram dan 3 tong minyak diesel 35 liter berjumlah 105 liter. Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM1,422.75,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat di Pondok Polis Ba’kelalan dan kesemua barang rampasan terbabit akan diserahkan kepada kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lawas pada 3 April depan.

Menurutnya, Tentera Darat komited untuk memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini