comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aspek keselamatan haji DIY dalam post mortem musim haji 1445/2024M

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi kesedaran secukupnya kepada bakal jemaah Malaysia sebelum menyertai ibadah haji secara sendirian DIY bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku di tanah suci Mekah pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata aspek keselamatan haji DIY itu antara perkara yang akan disentuh pada post mortem ibadah haji musim 1445H/2024M.

Mohd Na’im (kiri) menyampaikan sijil kepada seorang penerima pada Majlis APC 2023 Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini malam tadi. -Foto: NSTP

Beliau berkata, perkara ini perlu dipandang serius ekoran lebih 1,000 insiden jemaah haji DIY dari beberapa negara lain yang meninggal dunia pada musim kali ini di Tanah Suci disebabkan strok haba dan penyakit lain.

“Rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada rakyat Tunisia, Mesir dan Indonesia yang meninggal dunia akibat strok haba yang kebanyakannya menunaikan haji tanpa permit dan visa yang sah,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Cemerlang (APC) 2023 Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, malam tadi.

Beliau juga sekali lagi menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin mengerjakan haji, pergi dengan cara yang mengikut peraturan sama ada di bawah Tabung Haji (TH) atau menerusi 25 pengendali haji berdaftar di bawah TH.

Katanya, ini kerana rekod mereka akan didokumentasikan supaya mudah untuk diambil tindakan dan disalurkan bantuan sekiranya berdepan sebarang masalah.

“Dokumentasi diri ini penting bagi mengenal pasti nama jemaah, tempat tinggal, waris dan hospital mana yang sepatutnya dibawa sekiranya berdepan sebarang insiden, “ katanya.

Bagaimanapun, katanya, kaedah ibadah haji DIY ini tidak boleh dihalang mahupun dikawal oleh kerajaan Malaysia kerana secara dasarnya, ia di bawah kuasa kerajaan Arab Saudi menerusi Sistem Nusuk.

Media Arab Saudi sebelum ini, melaporkan lebih 1,300 orang meninggal dunia pada musim haji tahun ini dengan kebanyakan kes akibat tekanan haba serta perjalanan yang tidak sah.

Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan APC kepada 376 penerima terdiri daripada beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini