comscore
Tumpuan :
Nasional

Asyraf Wajdi Pertahan Kenyataan Azalina

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO hari ini menempelak pihak menyelar tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman yang menyarankan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menukar Peguam Negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut mengingatkan pihak terbabit supaya tidak lupa dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara ketika berkuasa selama 22 bulan.

“Sungguh melucukan apabila Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta PH kini menyelar Azalina kerana mencadangkan Ismail Sabri sepatutnya menukar Peguam Negara ketika menjadi Perdana Menteri dan mereka menuntut orang ramai menghormati badan kehakiman.

“Jangan lupa 22 bulan PH memerintah apa yang mereka lakukan terhadap sistem kehakiman dan institusi perundangan negara,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kes saman RM1.9 juta: Permohonan Najib bantah dua peguam wakili Tommy ditolak
Dewan Rakyat bersidang esok, pemilihan pengganti Azalina pada Selasa

Asyraf berkata, tidak berapa lama selepas mengambil tampuk kuasa Perdana Menteri pentadbiran PH ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan memanggil Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Mohamed Raus Sharif untuk bermesyuarat.

“Majlis Penasihat Kerajaan ataupun Council of Elders memanggil Ketua Hakim ketika itu untuk menghadap mereka dan mendesak peletakan jawatan.

“DAP berjaya melobi dengan hebat sekali Tan Sri Richard Malanjum untuk dilantik Ketua Hakim Negara.

“Campur tangan PH dalam menukar Ketua Hakim Negara kepada calon pilihan mereka turut mendapat kritikan hebat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyifatkan campur tangan eksekutif dalam perlantikan hakim.

“Ini juga disahkan oleh Tommy Thomas dalam bukunya,” katanya.

Beliau juga mendakwa PH secara tidak sah memecat Peguam Negara ketika itu dan menggantikannya dengan pilihan DAP, Tommy Thomas.

“PH juga meletakkan pemimpin kanan parti iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jadi, bagaimana PH dan BERSIH masih berani menyeru orang lain menghormati jawatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman,” katanya.

Kelmarin, Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri dilaporkan berkata, Ismail Sabri seharusnya melantik ‘orang kita’ sebagai Peguam Negara kerana jawatan itu adalah atas nasihat pemimpin utama negara.

Azalina yang menyatakan demikian ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur, berkata ia untuk memudahkan urusan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini