comscore
Tumpuan :
Nasional

ATM mahu rekrut pasukan penggodam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Berita baik buat penggodam atau juga dikenali sebagai ‘hacker’.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu menggunakan bakat anda sebagai aset untuk angkatan baharunya dikenali sebagai Angkatan Masa Hadapan.

Lebih gempak lagi, anggota terbabit akan mempunyai uniform dan pasukannya sendiri.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pasukan ini akan memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap ketika sidang media selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.- Foto: NSTP

“Di luar sana, ramai anak muda yang terbabit dalam e-sport. Jadi, kita mungkin akan kaji relevannya untuk mereka ini diserap. Perang masa depan akan lihat dari sistem saja. Itu sebab, kita kena kaji supaya kita tak ketinggalan kerana negara lain terutama Singapura sudah jadikan ini sebagai ketumbukan keempat dalam sistem perkhidmatan tenteranya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Kick-Off Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata matlamat penubuhan pasukan sedemikian juga dapat memperkukuh sistem kawalan dan pemantauan di perairan dan sempadan negara daripada sebarang ancaman penyeludupan.

Ini kerana ramai penjenayah menggunakan dron bagi kerja menyeludup.

Mohamed Khaled yakin pendekatan sebegini akan menjadi norma untuk pasukan-pasukan angkatan tentera melakukan proses pengambilan anggota baharunya.

“Malah, ramai penganalisis meramalkan yang pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih melibatkan kecanggihan teknologi seperti ‘unmanned drones’ dan aset yang dikawal secara digital.”

“Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ‘big data’ dan pendigitalan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM,” katanya.

Mohamed Khaled turut mengingatkan penggodaman serta serangan siber berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

Beliau memaklumkan bahawa Malaysia mengambil iktibar terhadap kejadian penggodaman dan kecurian fail dari Pentagon, Amerika Syarikat (AS) pada suku akhir tahun lalu yang mengakibatkan lebih 600,000 emel terjejas serta memberi kesan kepada lebih 2,500 organisasi kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini