comscore
Tumpuan :
Nasional

Azam Baki tekad laksana amanah, tanggungjawab penuh integriti

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tan Sri Azam Baki bertekad untuk melaksanakan sepenuhnya amanah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dilantik semula memegang jawatan nombor satu suruhanjaya berkenaan.

Beliau turut komited untuk menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan integriti.

“Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula saya ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Saya akan terus memastikan amanah ini dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti,” katanya hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai Ahad ini (12 Mei).

Pelantikan semula itu selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Ini adalah kali kedua Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mana sebelum ini tempoh perkhidmatan beliau dilanjutkan selama setahun pada tahun lalu.

Azam yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan, memulakan kariernya di Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai SPRM) pada 1984.

Jawatan pertama Azam di badan itu adalah penolong pegawai siasatan, selain pernah berkhidmat sebagai pegawai perisikan, pegawai pendakwaan, selain menjalankan tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020, menggantikan Latheefa Beebi Koya, yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini