comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Badan kehakiman dipersalahkan setiap kali individu berprofil tinggi dilepaskan – Ketua Hakim Negara

 

KUALA LUMPUR: Badan kehakiman sering dipersalahkan oleh orang ramai setiap kali individu berprofil tinggi dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan budi bicara untuk mendakwa dan tidak meneruskan prosiding adalah bawah bidang kuasa pendakwa raya.

“Apabila pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap seseorang, mahkamah hanya mempunyai dua pilihan terhad.”

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bergambar bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (dua kiri), Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli (kiri) dan Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah (kanan) ketika Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Putrajaya. FOTO: NSTP

“Bergantung pada fakta, dua pilihan itu ialah membenarkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan (DAA) atau dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA). Mahkamah tidak boleh berpaling daripada dua pilihan itu dan menggesa pendakwa raya untuk mengekalkan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024, di sini, hari ini.

Tengku Maimum berkata badan kehakiman dan pendakwa raya mempunyai fungsi dan tugas masing-masing yang digariskan oleh perlembagaan.

“Kedua-dua institusi ini perlu ‘dihakimi’ dengan adil dalam menjalankan tugas masing-masing tanpa mencampur adukkan kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Tengku Maimum turut mengingatkan bahawa hakim tidak boleh menjawab atau ditadbir oleh kehendak politik mahupun populariti.

Katanya, seorang hakim seharusnya menjadi penimbang tara yang bebas antara kerajaan dan rakyat.

“Hakim tidak perlu menjawab pendapat umum, populariti atau sentimen kerana mereka dilantik dan tidak dipilih. Hakim mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan semata-mata berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa perlu takut kepada kesan politik atau sosial,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini